Soal Jawab antara Rasulullah SAW & Iblis Laknatullah

Rasulullah SAW bertanya: "Hai iblis! Apabila umatku mendirikan solat, bagaimanakah keadaan engkau?"

Jawab iblis laknatullah: "Itulah sebesar-besar kesusahan kepada ku. Gementarlah seluruh badan ku dan lemahlah tulang sendi ku, maka pada waktu itu, aku menyuruh puluhan syaitan iblis menggoda setiap orang yang hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas bersolat dan hatinya supaya was-was dalam solatnya serta terlupa bilangan rakaatnya. Mereka juga akan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak cepat-cepat menamatkan solatnya. Sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang yang hendak bersolat supaya ia tidak kusyuk dalam solatnya sehingga mereka berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka) tidaklah tetap hatinya serta hilanglah kusyuknya. Sesetengah iblis memasuki telinga orang yang bersolat supaya memasang telinga mendengar perbualan orang, bunyi-bunyian dan sebagainya - yang sia-sia belaka. Sesetengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang bersolat itu tidak berupaya lama-lama semasa bersujud atau bertahiyyat. Di dalam hatinya sering bekehendakkan agar solatnya segera tamat dan ini tentunya akan mengurangkan pahala solat. Jika sekelian iblis berkenaan gagal menggoda seperti yang demikian, nescaya mereka akan aku hukum seberat-beratnya."

Rasulullah SAW bertanya: "Jika umatku membaca Al-Qur an kerana Allah SWT, apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Jika mereka membaca Al-Qur an kerana Allah SWT, maka terbakarlah tubuh ku serta putus-putus segala urat ku, maka larilah aku dari mereka."

Rasulullah SAW bertanya: "Hai iblis! Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah SWT, apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Telah binasalah diri ku dan gugurlah tulang ku kerana mereka telah menyempurnakan rukunnya."

Rasulullah SAW bertanya: "Hai iblis! Jika umatku berpuasa kerana Allah SWT, apakah yang engkau rasa?"

Jawab iblis laknatullah: "Ya Nabi Allah, inilah suatu bencana yang besar bahayanya terhadap ku kerana apabila masuk malam awal Ramadan, maka memancarlah nur Arasy dan Kursiy serta segala malaikat menyambut dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar-besar anugerah Allah SWT yang Maha Pengampun segala dosa yang telah lalu serta digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa. Tambahan pula yang menghancurkan hati ku ialah segala isi langit, bulan dan bintang serta malaikat sehinggalah burung-burung dan ikan-ikan laut dan air tawar juga tiap-tiap yang bernyawa di atas muka bumi mendoakan siang dan malam memohon ampun bagi orang-orang yang berpuasa. Satu lagi setinggi-tinggi kemuliaan orang yang berpuasa ialah Tuhan menjadikan 1000 kemerdekaan dari azab neraka pada setiap hari dalam Bulan Ramadan, segala pintu neraka ditutup, segala pintu syurga dibuka, angin/bayu syirah yang amat lembut berhembusan ke dalam syurga. Maka pada hari mulanya umat mu berpuasa, datanglah segala bala tentera malaikat yang garang tanpa mengira lawannya menangkap aku dengan perintah Tuhan serta ditangkapnya segala bala tentera ku iaitu jin, syaitan dan ifrit serta dipasung kaki tangannya dengan besi panas - dan dirantainya kami sekeliannya serta dibenamkan ke dalam bumi yang amat dalam dan ditambah pula dengan beberapa azab sengsara sehingga selesai ibadat puasa umat mu, baharulah aku dilepaskan supaya aku tidak boleh mengganggu mereka. Dan umat mu sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat puasa sebagaimana mereka bekerja untuk bersahur di waktu tengah malam seorang diri sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-malam yang lain"

Comments

Popular posts from this blog

Chronic Myeloid Leukemia

PS 3 GRATIS

Tools Hacker